Wednesday, June 23, 2010

Blog dakyah atau pembuka hidayah


Dalam suatu perjalanan berkereta, saya menangkap mutiara kata daripada Prof HAMKA, penulis kitab Tafsir Al-Azhar, daripada siaran IKIM.fm,. Beliau menyebut ”Seseorang penulis menikmati dua kegembiraan dengan penulisannya, pertama apabila tulisannya dibaca orang, kedua apabila penulisannya terus memberi manfaat setelah dia mati” Lantas aku terbayang-bayang blog saya yang sudah usang, bersawang. Sayang sungguh sayang, banyak sahaja idea yang datang ke minda tatkala sibuk dengan sesuatu, tapi dikala lapang, idea itu menjadi kering dan diri ini pula tidak bersemangat untuk menjelmakannya dalam blog.

Langsung juga teringat akan kolumnis yang diminati, iaitu saudara Subky Latiff, orang lama dan ikon dalam bidang kewartawanan. Apabila beliau ditanya tentang petua menjadi penulis dan wartawan yang berjaya, beliau teringat sebuah buku penulis berbangsa India yang mencebiskan kata-kata semangat untuk beliau terus menulis tanpa henti.

"By mearly wishing to be a writer you do not become one but by writing everday you will and can become a good writer (Sekadar hajat nak menulis belum boleh menjadi penulis tetapi jika menulis setiap hari anda akan menjadi penulis yang baik),"

Saya berbisik kepada diri sendiri, aku mesti disiplin dalam penulisan bukannya ikut suka aku (ISA) yakni menulis secara bermusim. Untuk itu, aku perlu aktif membaca dan mencari maklumat. Banyak yang para penulis perlu contohi daripada beliau dan tokoh penulis seperti Prof Dr. HAMKA ( Haji Abdul Malik Karim Amrullah) yang telah menulis kitab tafsir Al-Azhar, cerpen, novel dan artikel. Antaranya yang pernah saya baca bertajuk ’Tenggelamnya Kapal Van der Wijck, mengisahkan tentang kisah cinta yang tidak kesampaian yang sarat dengan pengajaran. Tak sangka seorang tokoh ulamak nusantara seperti beliau mampu dan telah menulis sebuah novel cinta untuk tatapan anak-anak muda sebagai pengajaran.


Apa pun, biarlah kita menulis dengan niat yang ikhlas, moga menjadi amal yang berterusan selagi mana dibaca dan diamal ilmunya. Bukan pula na’uzubillah, menjadi saham dosa yang bertambah-tambah apabila dibaca dan disebar-sebarkan. Semoga perkongsian saya ini mampu menjadi pembuka hidayah buat kita bersama, ameen.


No comments: