Friday, January 25, 2008

Masyarakat tanggungjawab bersama

"Aku tak suka nak jumpa orang ramai, tak suka nak campur masalah orang lain", kata seorang yang asyik dengan laptopnya.

"Ini gua punya style, lone ranger, independent, aku tak nak bergantung kepada sesiapa", jawab seorang anak muda.

Biasa kedengaran patah-patah kata yang sedap mencucuk telinga.

Allah memberi perintah kepada kita dalam al-Quran supaya berpegang teguh dengan tali Allah, dan janganlah berpecah belah.

Kedua, Nabi pernah bersabda: Kambing-kambing yang berseekoran itu lebih mudah dibaham serigala, daripada yang di dalam kumpulan.

Seterusnya, mengikut Ibnu Khaldun, pakar sosiologi berpendapat fitrah manusia yang normal adalah suka hidup bermasyarakat, bersosial, berjumpa orang, tolong menolong antara satu sama lain.


Semua ini menunjukkan betapa Islam ini adalah memenuhi fitrah manusia hendak menjaga setiap individu, setiap daripada kita semua dalam sesebuah komuniti, masyarakat, dan diperintahkan supaya hidup bermasyarakat. Ini kerana tidak banyak dan besar impak sesuatu yang dilakukan oleh individu-individu jika tidak dilakukan secara beramai-ramai, bergotong-royong. Manisnya ialah bonus, iaitu kita membina silaturrahim atau ikatan yang erat antara individu muslim.


Banyak ayat didalam al-Quran yang memerintahkan supaya bersolat turut disertai perintah memberi zakat. Kenapa demikian? Ini kerana solat kita, faedahnya kepada kita sahaja, tapi zakat faedahnya kepada masyarakat seluruhnya. Ini untuk mengingatkan ahli solat atau ibadat supaya tidak lupa kepada masyarakat yang ada hak juga ke atasnya, perlunya hidup bermasyarakat dan tidak pentingkan perut sendiri semata. Tiada istilah 'lone ranger'(baca:kera sumbang) yang kuno dan ketinggalan zaman dan peradaban tersebut dalam Islam.

Rasulullah SAW pernah bersabda: Orang yang paling disukai Allah ialah orang yang paling banyak memberi manfaat kepada orang lain.

Dan sabda baginda lagi: Sesungguhnya aku sangat suka berjalan dengan seorang Muslim demi untuk menunaikan hajat keperluannya daripada aku duduk beriktikaf didalam masjid sebulan lamanya.
(Diriwayatkan Ibn Abi Al-Dunya dan Imam At-Tabrani, hadith Hasan)

Bahkan pepatah Melayu ada menyebut, bersatu teguh, bercerai-roboh. Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Setiap daripada kita ada masa susah dan senang, langit tidak akan selamanya cerah. Disangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Ada yang kata 'kau apa sibuk, kubur kita lain-lain' , jaga tepi kain sendirilah cik, abang.Eloklah tue, esok-esok mak ayah meninggal, atau diri sendiri meninggal, balutlah sendiri kain kapan ke badan, berjalanlah (baca:berguling atau bergolek) ke liang lahad. dan kambuslah sendiri. Jangan lupa, dah menjadi adat manusia, lahir kena bersambut, dan mati kena berhantar.


Jangan pentingkan diri sendiri, jangan bergaduh sesama saudara Islam, dan bertolak-ansurlah kita tolong-menolong antara satu sama lain. Berbaik sangkalah sesama kita kerana sebahagian buruk sangka itu adalah dosa. Kepada yang tak biasa atau tak suka bermasyarakat, biasa-biasakanlah diri, hidup nie tak lama. Jangan hanya tahu mengkritik, tapi hendaklah membuat kerja menyumbang tenaga.
Semoga tidak lagi menyisihkan diri dari komuniti.



Seorang mukmin yang bergaul bersama manusia dan bersabar atas sikapnya yang menyakitkan adalah lebih besar ganjarannya daripada seorang mukmin yang tidak bergaul dengan manusia dan tidak bersabar atas sikapnya yang menyakitkan.

Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Majah dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Ibn Majah – hadis no: 4032

No comments: