Wednesday, November 07, 2007

Kami tidak pernah lupa

7 November 2007, bersamaan 27 Syawal 1428H. Dah lima hari aku berpuasa sunat Syawal. Sekarang muslim luruh, di mana daun-daun kuning dan coklat dah meluruh hampir semuanya. Kegelapan malam semakin panjang mengatasi cerahnya siang. Bayangkanlah waktu maghrib, atau terbenamnya matahari pada pukul 4.41 petang dan matahari hanya akan terbit semula pada jam 7.36 pagi. Kesejukannya yang serendah 9 darjah Celsius makin terasa menyebabkan pemanas perlu dipasang lebih kerap dan lebih lama.


Di dalam kepenatan minda mengulangkaji syllabus perubatan tahun dua dan menyemak untuk tahun tiga, menelusuri sehari-hari di perantauan ini, sempat juga aku meluangkan masa menjalar di pautan-pautan dan sesawang labah untuk update dengan suasana sosiopolitik tanah air tercinta. Isu-isu pendidikan, jenayah, rasuah, kehakiman dan pilihan raya menjadi kegemaran. Kadang-kadang membaca isu-isu ini di media arus perdana, dan arus alternatif atau rakyat, lebih mengisi dan memuaskan berbanding hanyut di alam khayalan bersama anime seperti naruto, one piece; series seperti Prison Break, Heroes, House, Friends; ataupun movie yang berlambakan di joox. Tidak lupa juga dengan kipas susah mati permainan seperti Pro Evolution Soccer, Championship Manager, Warcraft DOTA, CounterStrike dan lain-lain. Al maklumlah dengan kemudahan internet jalurlebar dan rapidshare yang mampu dilanggan oleh setiap pelajar, semua maklumat yang sampah, toksik mahupun penawar dan pencerah semuanya ada di hujung jari. Semua yang disenaraikan di atas adalah sangat popular di kalangan kami yang juga pelajar biasiswa tajaan MARA, JPA, PETRONAS, TNB, TELEKOM dan yang terbaru Yayasan Terengganu. Untuk pengetahuan semua, kami jugalah bakal teknokrat, profesional yang akan mencorak masa depan negara dalam masa 20 hingga 30 puluh tahun lagi.


Namun begitu, aku beranggapan dan percaya bahawa tidak semua mereka ini bersikap tidak pedulisme, tetapi kebanyakannya hanya bersikap ambil tahu dan beranggapan tiada apa yang dapat atau perlu diperjuangkan di alam mahasiswa (kalau layak digelar sedemikian). Penulis yakin bahawa ada sekelumit rasa peduli dan mahu mengubah keadaan ini dalam darah muda dan panas perantau-perantau ini.

Walaupun kenyataannya, apa yang sedang berlaku di Malaysia sangat mendukacitakan, dan membarah ke akar umbi, namun semangat idealisme perjuangan mahasiswa luar negara akan terus membakar. Siapa lagi kalau bukan kita yang telah melihat dunia- United Kingdom, Republic Czech, Spain, German, France, Holland, Switzerland, Japan, Korea, India, Indonesia dan Malaysia dari segenap perspektif dan kaca mata. Semoga semangat kita tidak mendung dan suram seperti awan autumn dan winter di United Kingdom, dan biarlah ia secerah summer dan semekar bunga spring, dan sentiasa sehijau rumput biar apa pun musimnya.


Malah, dengan kenaikan biasiswa kami yang tidaklah setinggi 97%, kami tetap tidak akan lupa betapa kami berhutang dengan negara, seluruh masyarakat Malaysia, untuk pulang berbakti kepada watan, berjuang membela nasib rakyat miskin dan tertindas, tak kira Cina, Melayu, India, Kadazan, Dusun, Iban mahupun Melanau. Betapa kami akan dipertanggungjawabkan nanti, dan pastinya akan ditanya apakah telah dipenuhi semua itu atau tenggelam dalam nikmat dunia?


Walaupun jauh beribu batu, ketahuilah kami sentiasa mengiringi kalian semua dengan doa semoga berjaya dalam perhimpunan BERSIH nanti. Penulis mencari-cari juga baju berwarna kuning untuk dipakai simbol solidariti dan semangat kebersamaan dalam perjuangan rakyat. Akhir sekali, kalau boleh penulis katakan, KAMI tidak pernah lupa.