Sunday, April 13, 2008

Ekonomi Al-Faruq

Assalamualaikum wbt,

Salam ceria kepada semua, semoga sihat dan ceria sokmo,

Ingin saya bercerita tentang Khalifah Ar-Rasyidin (yang diberi petunjuk oleh Allah SWT) yang kedua iaitu Saidina Umar Ibnu Al-Khattab atau betul juga jika dipanggil sebagai Saidina Umar Al-Faruq. Beliau diiktiraf oleh Rasulullah SAW sebagai seorang yang diberi keistimewaan oleh Allah SWT memiliki ilham yang benar. Nabi pernah bersabda ‘Ikutilah sunnahku, serta sunnah Khalifah-khalifah ar-Rasyidin selepasku’. Tambahan lagi, Nabi SAW pernah juga menyebut bahawa jika ada nabi selepasku maka dia pastilah Saidina Umar ibnu Al-Khattab.

Dalam suatu hadis, Nabi menyebut tentang mimpi beliau berkenaan Saidina Umar dan Saidina Abu Bakar di sebuah telaga di mana Saidina Abu Bakar dapat menimba lebih banyak air daripada telaga tersebut berbanding Saidina Abu Bakar r.a. Ulamak menafsirkan hadis itu merujuk kepada kebolehan beliau dalam bidang ekonomi yang mana dapat dilihat semasa pemerintahan beliau. Banyak pembaharuan dan pemantapan pengurusan ekonomi serta kebajikan rakyat yang dilaksanakan. Antaranya beliau ialah orang yang pertama memperkenalkan sistem tangga gaji mengikut senioriti dan kelayakan, yang pertama merekodkan data tentera, dan mengarahkan supaya semua tanah yang terbiar diusahakan. Kebajikan rakyat amat sangat diperhatikan oleh beliau di mana ditunjukkan melalui siri turun padang untuk melihat keadaan rakyat secara dekat. Kita semua dah tentu pernah dengar tentang kisah beliau terdengar perbualan di antara seorang anak perempuan dan emaknya berkenaan mencampurkan susu dengan air untuk mendapatkan untung yang lebih. Anaknya tidak bersetuju dengan emaknya yang mengatakan Saidina Umar tak nampak perbuatan mereka itu. Anaknya menjawab bahawa Saidina Umar tak nampak tapi Allah Maha Melihat. Saidina Umar yang kagum dengan ketakwaan,ketulusan dan kejujuran perempuan tersebut lantas berkenan, dan menjadikan perempuan itu sebagai menantu beliau.

Dalam kisah lain, beliau berjumpa dengan seorang yang buta lantas soalan pertama yang ditanyakan ialah macam mana kamu pergi ke masjid untuk bersolat. Seorang buta menjawab bahawa dia hanya solat di rumah memandangkan tiada siapa yang dapat membawanya ke masjid. Saidina Umar tanpa teragak-agak menyediakan orang buta tersebut seorang pegawai yang digaji oleh baitulMal (perbendaharaan ekonomi negara) untuk membawanya ke masjid setiap waktu solat. Seterusnya, seorang yang putus lengannya dalam perang disediakan pembantu oleh Baitulmal untuk membantunya mengambil wuduk setiap kali waktu solat.

Kisah yang jarang didengar oleh kita semua ialah semasa Umar meronda-ronda ke kawasan pemerintahannya lalu terdengar suara budak menangis. Beliau bertanya kepada ibu budak tersebut kenapa demikian keadaannya. Ibu tersebut menjelaskan dia terpaksa berhenti menyusu anaknya lebih awal untuk mendapat bantuan kerajaan (child benefit) kerana Khalifah Umar telah menetapkan bahawa hanya budak yang telah berhenti susuan akan mendapatnya. Beliau dengan sedih dan kesal lalu berkata ” Celakalah Umar! Celakalah Umar!” Selepas itu beliau telah mengubah peraturan itu menjadikan semua bayi layak diberikan child benefit biarpun belum berhenti susuan. Rupa-rupanya ’Child benefit’ telah lama dilaksanakan oleh sebuah kerajaan Islam.

Sikap beliau yang sangat terbuka dalam menerima teguran adalah sangat baik untuk diinsafi, ditekuni dan dihayati oleh semua, baik pemimpin mahupun pengikut di peringkat negara mahupun persatuan kecil. Di awal pelantikannya beliau mencabar sesiapa yang akan menegurnya jika beliau menyimpang, melencong atau meninggalkan ajaran Islam, Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Lalu bangun seorang lelaki, lalu berkata ”Jika kamu membuat kesalahan, nescaya aku akan betulkan kamu dengan pedang ini (sambil mengangkat pedangnya).” Saidina Umar dengan tenang menjawab ” Alhamdulillah, aku bersyukur kepada Allah kerana masih ada orang yang berani menegur Umar.” Dalam peristiwa lain berkenaan penetapan mas kahwin, seorang wanita bangun dan menyatakan hujah-hujah bagi menyokong ketidaksetujuannya terhadap Umar. Umar kemudian membalas ”Sesungguhnya wanita itu benar, dan Umar salah” bersetuju dengan pendapat wanita tersebut. Ini adalah satu contoh ketelusan, amanah, dan integriti pemimpin kelas pertama yang kita perlukan pada masa sekarang untuk memimpin umat kembali kepada kegemilangan Islam.

Akhir kalam, Saidina Umar r.a pernah menyebut ”Wahai manusia, perbaiklah harta benda yang telah direzekikan Allah ke atas kamu, sesungguhnya harta sedikit yang diuruskan dengan berhemah (prudentially), lebih baik dari harta yang banyak diurus dengan membabi buta.” /jihad.