Tuesday, December 07, 2010

Sebarkanlah Salam

Sedih, ucapan salam kadang-kadang seperti tersekat di kerongkong untuk keluar... Kenapa begitu? Bukankah salam itu sebahagian daripada doa, akhlak dan sunnah yang mulia...


Daripada Abi Hurairah r.a berkata, Rasulullah SAW telah bersabda: “Kamu tidak akan masuk syurga sehinggalah kamu beriman, kamu tidak akan beriman sehinggalah kami saling berkasih-sayang. Hendakkah kamu aku tunjukkan sesuatu perkara, apabila kamu melakukannya akan saling mengasihi? Sebarkan salam antara kalangan kamu.” (Riwayat Muslim)


Ya, salam itu adalah salah satu cara untuk kita mempamer kasih sayang, dan mengeratkan lagi silaturrahim antara kita.. sebaiknya salam itu bukan sahaja di kalangan yang kita kenal, bahkan kepada orang yang kita tidak pernah mengenali sesama Islam. Contoh mudah, apabila berjumpa di masjid, belajarlah untuk senyum dan memberikan salam. Kalau tidak dapat dengan semua, jangan langsung meninggalkannya pula. Buatlah sekadar mampu.


Para sahabat sering berlumba-lumba dengan Nabi SAW siapa yang dapat mula-mula mengucapkan salam apabila berjumpa. Seringkali mereka gagal dalam mendahului Rasulullah SAW dalam ucapan yang mulia itu..


Daripada Huzaifah r.a berkata, Rasulullah SAW telah bersabda: “Sesungguhnya seseorang mukmin apabila bertemu dengan orang mukmin yang lain, lalu dia memberi salam kepadanya dan memegang tangannya untuk bersalaman, maka berguguranlah dosa-dosa mereka sebagaimana bergugurannya daun-daun dari pokok.” (Riwayat at-Tabarani)

Ucapan salam kepada bukan Islam 


Timbul persoalan ini, adakah kita perlu memberi salam kepada orang belum Islam, dan adakah orang bukan Islam boleh memberikan ucapan salam. 


Secara mudahnya, kita boleh dan bahkan digalakkan memberikan salam kepada semua tidak mengira agama kerana ucapan salam adalah ucapan yang baik. Cuma, ucapan salam kepada bukan Islam tidak boleh disertakan dengan ucapan warohmatullah...


Kalau kita teliti maksud salam sekalipun, ia membawa maksud 'Salam sejahtera kepada kamu' . Untuk mengelakkan fitnah, kita boleh gantikan ucapan salam kepada bukan Islam dengan ucapan Good Day, Good morning, dan lain-lain.


Salam adalah syiar Islam


Ucapan salam adalah syiar, petanda mudah menunjukkan seseorang itu Islam atau bukan. Kenapa malu atau pelik untuk mulakan ucapan, pembentangan, 'presentation', perbualan kita dengan ucapan salam dan menyebut nama Allah SWT. Lebih-lebih lagi jika hadirin atau pendengarnya ada yang Islam walaupun seorang.


Salam ini ibarat bismillah dalam kita memulakan sesuatu perbuatan, ianya mudah tapi susah untuk dibuat kerana kita sendiri yang tidak mengerti akan kelebihan dalam mengamalkan sunnah ini. Dalam satu hadis yang lain, siapa yang masuk ke dalam rumah tanpa memberi salam, maka dia masuk bersama-sama syaitan, bermakna dia mempersilakan syaitan untuk masuk bersama-samanya. 


Dari Aisyah radliyallahu’anha ia berkata: Rasulullah shallallahu’alaihi wa sallam pernah berkata: “Wahai Aisyah, ini ada Jibril, dia kirim salam untukmu.” Aisyah berkata: “Aku jawab, wa’alahissalam wa rohmatulloh (semoga keselamatan dan rahmat Allah tercurahkan untuknya), engkau dapat melihat apa yang tidak kami lihat.”  (Riwayat Bukhari dan Muslim)


Jom, kita sebarkan salam... =)

No comments: